ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah peruntukan bagi projek menaik taraf infrastruktur dan sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan pihak MADA, kos bagi tujuan itu dijangka melebihi daripada RM3 bilion yang telah diumumkan sebelum ini.

"Jumlahnya akan lebih terutama hal pengambilan tanah dan berlaku (keperluan untuk) memperbaiki empangan di Pedu (dekat Kuala Nerang), yang itu akan memakan kos agak tinggi...dan mungkin memerlukan pakar asing.

"Atas sebab itu berlaku kenaikan bajet nanti. Kita akan minta (peruntukan) tambahan dan projek ini projek besar untuk faedah sekuriti makanan, saya yakin Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan sedia mendengar permintaan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Solidariti Palestin: Sejarah dan Geopolitik Palestin, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek tersebut penting supaya hasrat untuk melaksanakan penanaman padi lima musim dalam dua tahun di seluruh kawasan MADA direalisasikan bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Sementara itu, Mohamad berkata, KPKM akan mengkaji sama ada kuota bekalan benih padi sah (BPS) oleh agensi kerajaan dapat dinaikkan daripada kuota semasa iaitu sekitar 30 peratus.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi terlibat dan mengenal pasti kemampuan mereka sebelum membuat sebarang keputusan menaikan kadar kuota itu.

"Kita akan kaji pada tahun depan untuk cuba menaikkan kuota agensi kerajaan dalam menyediakan benih dan kerajaan juga akan buat simpanan stok padi lebih kurang 50,000 tan metrik, kalau apa-apa berlaku kita boleh guna simpanan ini," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, ketika ini LPP bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Felcra Plantation dan MADA Corp membekalkan kira-kira 15,500 tan metrik BPS daripada 72,000 tan metrik kuota tahunan yang ditetapkan KPKM.

Jumlah selebihnya dibekalkan oleh pihak swasta. - BERNAMA